Robin van Persie

DUA kelab berjiran, Manchester City dan Manchester United telah mengemukakan tawaran rasmi untuk mendapatkan bintang penyerang Arsenal, Robin van Persie semalam, namun usaha itu mungkin tidak cukup meyakinkan kelab London tersebut untuk melepaskan kapten mereka.

Van Persie sudah menegaskan, dia tidak mahu menyambung kontraknya yang akan berakhir musim depan, menyebabkan Arsenal tidak punya pilihan kecuali menjual pemain itu sekarang atau bakal kehilangannya secara percuma.

Menurut laporan media Britain, kedua-dua kelab dari Manchester menawarkan 15 juta pound (RM74 juta) untuk pemain antarabangsa Belanda berusia 28 tahun itu, namun Gunners hanya sedia mempertimbangkan tawaran 20 juta pound (RM98.8 juta).

Biarpun sudah memulakan langkah pertama, namun City dan United masih perlu bersaing dengan gergasi bola sepak Itali, Juventus yang juga mengemukakan tawaran rasmi kepada pengurusan Arsenal untuk membeli Van Persie, yang enggan menyertai rakan-rakan sepasukan dalam siri Jelajah Pra-Musim di Timur Tengah.

Sedar bahawa usaha untuk mengekalkan kapten mereka itu hampir mustahil, Arsenal dikatakan telah mengintai penyerang Athletic Bilbao, Fernando Llorente bagi mengisi posisi serangan.

Mereka bagaimanapun perlu berbelanja besar, 28 juta pound (RM139 juta) sekiranya mahu membebaskan penyerang yang memiliki ketinggian 6 kaki 5 inci itu daripada kontraknya dengan Bilbao.

Llorente, 27, telah meledak 28 gol dalam saingan La Liga musim lalu.

Selain penyerang antarabangsa Sepanyol itu, Gunners turut mengintai Stevan Jovetic dari kelab Serie A, Fiorentina dan pemain Borussia Dortmund, Robert Lewandowski.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger juga dikatakan berminat untuk mendapatkan pemain tengah Brazil berusia 22 tahun, Paulo Henrique Ganso yang disifatkan oleh skuad pencari bakat kelab London itu sebagai calon terbaik menggantikan Andriy Arshavin.

Tawaran bernilai 15 juta pound (RM74 juta) telah dikemukakan untuk mendapatkan permata baru Brazil itu, yang kini sedang melakukan persiapan untuk menghadapi Sukan Olimpik London. — Utusan

Leave a Reply