Roh HodgsonBELUM pun kempen liga bermula, pengurus baru Liverpool, Roy Hodgson sudah mengangkat ‘bendera putih’ dengan menegaskan, dia tidak menjangkakan skuad Reds akan mencabar kejuaraan Liga Perdana England musim ini kerana tidak mempunyai masa yang cukup untuk memperkemaskan pasukan barunya.

Hodgson bakal menerima kunjungan Arsenal di Anfield hari ini, iaitu perlawanan Liga Perdana pertamanya bersama Liverpool selepas menggantikan Rafael Benitez selepas tamat hujung musim lalu.

Kehadiran Joe Cole ditambah dengan peralihan pengurusan kelab daripada pemilik kontroversi, Tom Hicks dan George Gillet telah menaikkan harapan bahawa Liverpool mampu menjadi pesaing utama kejuaraan bermula dengan mengalahkan Arsenal.

Bagaimanapun, Hodgson dengan sikapnya yang suka berterus terang berfikiran sebaliknya.

“Selepas mengharungi tujuh sesi latihan bersama pemain, saya melihat pasukan ini masih jauh jika dibandingkan dengan pasukan utama lain seperti Manchester United, Arsenal dan Chelsea.

“Saya tidak mahu bersikap hipokrit dengan mengatakan selepas hanya menjalani enam atau tujuh latihan bersama Liverpool, ia sudah cukup untuk menjadikan kami sebuah pasukan yang dimahukan.

“Ia sesuatu yang mengarut untuk mengatakan pasukan ini boleh berada di puncak permainan mengikut cara saya,” kata Hodgson.

Pengurus kelahiran England itu perlu membuat keputusan sama ada mahu menurunkan pemain tengah, Javier Mascherano dalam perlawanan pertama menentang barisan Arsene Wenger setelah pemain Argentina itu berkeras untuk meninggalkan kelab Merseyside itu.

Inter Milan sebelum ini disebut-sebut mahu mendapatkan kapten Argentina itu atas permintaan Benitez.

Namun Hodgson menegaskan Mascherano tidak akan ke mana-mana.

Leave a Reply