BENJANI Mwaruwari masih mempunyai masa depan dalam pasukan Manchester City.

Demikian jaminan pengurus baru City, Roberto Mancini, selepas pemain itu menyumbat gol kemenangan pasukannya ke atas Middlesbrough 1-0 dalam aksi pusingan ketiga Piala FA, kelmarin.

Dengan kemenangan itu, ia bererti pasukan City di bawah pimpinan Mancini mempunyai rekod tidak pernah kalah sejak jurulatih dari Itali itu mengambil alih tugas daripada Mark Hughes.

Pemain antarabangsa Zimbabwe itu disertakan dalam kesebelasan utama City selepas keputusan merehatkan beberapa pemain utamanya sebagai persiapan menghadapi cabaran perlawanan pertama peringkat separuh akhir Piala Liga menentang Manchester United, Rabu ini.

Ditanya selepas perlawanan ini sama ada beliau akan mendapatkan pemain pertahanan Inter Milan, Ivan Cordova, Mancini memberitahu: “Bukan sekarang. Buat masa ini, apa yang penting ialah membuat persiapan menghadapi perlawanan menentang Manchester United nanti.”

Nama Benjani disebut-sebut akan diletakkan dalam senarai pemindahan pemain sepanjang bulan ini.

Tetapi pemain itu – yang kali terakhir menjaringkan gol untuk City adalah pada Disember 2008 semasa seri 1-1 dengan Fulham – membuktikan bahawa beliau wajar dikekalkan.

Menurut Mancini, tenaga Benjani, 31 tahun, masih boleh diguna dalam perjuangan bagi separuh kedua Liga Perdana Inggeris.

“Benjani telah memanfaatkan peluangnya dan beliau telah beraksi dengan baik. Saya puas hati dengan tahap persembahannya.

“Beliau telah membuktikan bahawa beliau boleh memberikan sumbangan besar kepada City dan ini adalah sesuatu yang baik bagi perjuangan kami,” kata Mancini.

Sejak menjadi pengurus City dalam tiga perlawanan, Mancini boleh berbangga melihat pasukannya bukan sahaja memenangi kesemua perlawanannya itu, malah lebih menarik lagi, gawangnya gagal dibolosi oleh pasukan-pasukan lawan.

Selepas memasukkan Gareth Barry, Carlos Tevez dan Craig Bellamy dalam separuh masa kedua, Mancini memberitahu: “Buat masa ini, kami berdepan dengan masalah kerana ramai pemain kami mengalami kecederaan.

“Saya tidak boleh menurunkan pemain-pemain saya dalam setiap perlawanan. Saya gembira kami berjaya mengatasi halangan pusingan ketiga Piala FA kerana pertandingan ini adalah penting,” beliau menambah.

Leave a Reply