• Wenger keras kepala – Andrey Arshavin

ANDREY ArshavinANDREY Arshavin mendakwa pengurus Arsenal, Arsene Wenger enggan mendengar nasihat daripada sesiapa pun di kelab itu.

Arshavin yang dibeli Gunners pada harga rekod 15 juta pound (RM75.3 juta) berkata apabila pemain menghadapi masalah, beliau sentiasa memberi sokongan.

“Tetapi apabila ia membabitkan Arsenal, tiada siapa yang berani mendekatinya dengan soalan mengenai bola sepak atau cadangan untuk memperbaiki keadaan.

Semua orang tahu apa jawapannya,” katanya.

Arshavin tidak pernah takut menyuarakan pandangan terhadap kelab lamanya, Zenit St Petersburg.

Begitupun, dia menegaskan tidak akan bertikam lidah dengan pengurus Stadium Emirates, Wenger.

“Beliau biasanya senyum tanda faham tetapi sebenarnya mempunyai idea tersendiri,” katanya.

Arshavin yang juga kapten skuad Russia, kini kerap diletakkan di bangku simpanan Gunners apabila hanya tampil dua kali daripada 19 perlawanan musim ini sebagai kesebelasan utama.

Dia biasanya menggantikan pemain atau dibawa masuk dalam 13 perlawanan malah khidmatnya sebagai pemain simpanan tidak pernah digunakan dalam tiga perlawanan.

Dia beraksi dalam perlawanan sepenuhnya ketika dibelasah 2-8 oleh Manchester United dan perlawanan pusingan keempat Piala Liga yang menyaksikan mereka menang 2-1 ke atas Bolton di mana dia menjaringkan gol penyamaan pada separuh masa kedua.

Malah pemain berusia 30 tahun itu mendedahkan rasa kecewanya kerana dipinggirkan.

“Lebih baik saya beraksi sepanjang masa di Zenit daripada duduk di bangku simpanan.

“Saya masih mahu bermain. Jika anda seorang pemain bola sepak, anda mahu berada di padang, tidak kira sama ada anda berusia 18 atau 35 tahun.

“Kadang kala saya turun ke padang dan sedar, betapa baik pun saya bermain, saya akan tetap digantikan pada minit ke-70.

“Kadang kala anda duduk di bangku dengan penuh yakin bahawa anda akan dibawa masuk pada minit ke-65.”

Arshavin tiba dari Zenit pada Februari 2009 dan membolot semua gol Arsenal sewaktu seri 4-4 menentang Liverpool pada April tahun itu.

Begitupun dia hanya menjaringkan dua gol musim ini dan mencipta satu peluang gol untuk pasukan.

Wenger sebaliknya lebih memilih bintang England, Theo Walcott dan penyerang Ivory Coast, Gervinho untuk saingan musim ini.

Arshavin yang kini mulai bosan juga tidak berpeluang untuk mengisi posisi tengah apabila Mikel Arteta, Aaron Ramsey dan Alex Song menggalas tugas itu buat Gunners.

Sebelum musim ini, Arshavin biasanya menjadi pilihan utama apabila turun sebagai kesebelasan utama dalam 25 perlawanan dan menjadi pemain gantian dalam lima perlawanan pada musim 2009/10.

Musim lalu, dia diletakkan sebagai skuad utama dalam 25 perlawanan dan 12 lagi sebagai pemain gantian.

“Ketika ini, Wenger lebih mempercayai Walcott dan Gervinho. Sebelum musim ini, saya jarang digunakan sebagai pemain simpanan.”

Kontrak Arshavin bakal berakhir pada Jun 2013 dan dikatakan bakal kembali ke negaranya dengan Zenit dan Anzhi Makhachkala berminat mendapatkannya.

Leave a Reply