THEO Walcott meledak hatrik bagi membantu Arsenal mencipta kemenangan 6-0 ke atas Blackpool pada aksi Liga Perdana England di Emirates semalam.

Walcott menyumbang gol pembukaan Arsenal pada minit ke-12 selepas menyudahkan hantaran Andrey Arshavin.

Theo Walcott beraksi cemerlang dalam aksi Liga Perdana Inggeris menentang Blackpool di Emirates, malam tadi.Arshavin kemudiannya meletakkan namanya selaku penjaring apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-32.

Sepakan penalti itu berpunca apabila pemain pertahanan Blackpool, Ian Evan mengasari penyerang Arsenal, Marouane Chamakh dalam kawasan kotak penalti.

Ekoran kekasaran yang dilakukannya itu, Evan telah dilayangkan kad merah.

Beraksi dengan sepuluh pemain ternyata merencatkan strategi Blackpool untuk mengasak kubu Arsenal.

Sebaliknya, The Gunners terus garang menggempur benteng pertahanan lawan sebelum Walcott menjaringkan gol ketiga Arsenal pada minit ke-39.

Berselang sepuluh minit kemudian, gawang Blackpool bolos lagi, kali ini giliran Abou Diaby merobek gawang pasukan pelawat hasil hantaran lintang Bacary Sagna.

Walcott melengkapkan hatrik apabila meledak gol kelima Arsenal menerusi rembatan kaki kiri pada minit ke-58.

Chamakh mengesahkan kemenangan bergaya Arsenal di hadapan penyokong sendiri apabila menyumbang gol keenam The Gunners tujuh minit sebelum perlawanan berakhir

Sementara itu, Tottenham Hotspur turut mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan Stoke City 2-1.

Gareth Bale menjaringkan kedua-dua gol Spurs manakala gol tunggal Stoke disumbangkan oleh Ricardo Fuller.

Leave a Reply